More About Me...

I(Allah) created the jinn and humankind only that they might worship Me. (56)Ad-Dhariyat

Another Tit-Bit...

Bertutur dengan kata yang baik, berpikirlah dengan niat yang baik dan melakukan perbuatan baik.

PPSMI- Benarkah membantu anak Malaysia menguasai B. Inggeris ?

Teringat kisah bagaimana PPSMI ini bermula setelah Tun Mahathir berasa malu apabila mendapati ramai Pegawai Tadbir Diplomat (PTD)nya tidak menguasai bahasa Inggeris semasa berkomunikasi. Rentetan daripada itu maka bermulalah era menjahanamkan bahasa Melayu itu di dalam mata pelajaran Matematik dan Sains.

Soalnya benarkah anak-anak Melayu tidak menguasai bahasa Inggeris selama ini.Jika tidak bagaimana ramai graduan dapat dilahirkan di negara ini dan mengapakah universiti awam di negara ini tidak dapat menampung jumlah pelajar yang memohon melanjutkan pelajaran mereka atas rekod pencapaian yang baik dalam keputusan SPM mereka. Ini yang meragukan kita.

Rasanya soal anak-anak Melayu tidak menguasai bahasa Inggeris di peringkat UPSR, PMR dan SPM tidak timbul kerana jika kajian dibuat kita dapat melihat pencapaian mereka meningkat setiap tahun dan di peringkat universitipun, kebanyakan buku-buku rujukan mereka sebahagian besarnya di dalam bahasa Inggeris.Jadi tidak timbul soal mereka lemah dalam penguasaan bahasa Inggeris.

Apa yang menjadi masalah sekarang ialah bidang komunikasi, kita dapat lihat sehingga sekarang tidak ada usaha daripada pihak Kementerian Pelajaran menambahbaik mata pelajaran ini. Hanya yang diubahnya ialah menginggeriskan matematik dan sains.Ini bukanlah cara yang terbaik untuk mereka menguasai bahasa Inggeris sepenuhnya kerana matematik dan sains merupakan bidang ilmu yang seharusnya difahami dalam bahasa mereka sendiri.Mengapa tidak diserapkan Bahasa Inggeris Komunikasi di peringkat sekolah rendah lagi supaya penguasaan Bahasa Inggeris itu lebih seimbang.

Apa yang sibuk ditekankan ialah bidang penulisan semata-mata. Maka jadilah pelajar melayu itu macam orang tak cukup kain, 'tarik atas nampak bawah, tarik bawah nampak atas'. Ajarlah walau seribu tahunpun mata pelajaran Sains dan Matematik itu dalam bahasa inggeris, nescaya hasilnya tetap semacam itu.

Kita mahu anak-anak Melayu terutamanya melihat bidang sains mengikut pemahaman mereka sendiri selaras dengan hasrat Wawasan 2020 iaitu melahirkan bangsa Malaysia mengikut acuan kita sendiri.Jika Russia berbangga dengan bahasa mereka untuk menguasai bidang angkasa lepas, jadi apa salahnya dengan bahasa melayu.Begitu juga di negara Iran, yang terkenal dengan kehebatan mereka menghasilkan tenaga nuklear,tidak pula kita terdengar pemimpinnya mengarahkan pelajar di sekolah mereka belajar sains dan matematik dalam bahasa inggeris.Dengan bahasa mereka sendiri, mereka menjadi antara negara Islam yang kuat.

Sebagai seorang yang berbangsa Melayu kita harus berbangga yang kita punya bahasa sendiri, budaya sendiri dan identiti sendiri. Tidak salah jika kita maju dengan bahasa sendiri bukan dengan menempel pada bangsa lain.Usah fikirkan nanti kita akan tertinggal jika kita tidak menguasai bahasa Inggeris.

Kita lihat sahaja orang barat, mereka tidak mengerah semua rakyatnya untuk menguasai bahasa Arab untuk menguasai ilmu yang terdapat di dalam Al-Quran tetapi sebilangan kecil orang barat yang menguasai bahasa Arab inilah yang membawa ilmu yang diperolehinya di negara arab parsi kepada seluruh bangsanya dalam bahasa mereka dan bukannya bahasa Arab.Jadi apalah salahnya kita menggunakan pendekatan mereka untuk membolehkan seluruh rakyat negara ini menguasai sains dan teknologi dalam bahasa sendiri.

Sebagai anak Melayu, kita haruslah berpijak di bumi nyata, jangan yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran. Ini kerana Bahasa menunjukkan identiti bangsa itu sendiri.Kepada semua pemimpin Melayu sedarlah bahawa dengan bahasa kita akan menguasai dunia, biarlah lambat tetapi meninggalkan kesan yang positif daripada cepat tetapi mengecewakan.Jangan suatu masa nanti, anak cucu kita hanya mengetahui bahasa Melayu ini sebagai bahasa sisipan dalam majalah-majalah atau di dalam akhbar harian yang ditatap sebagaimana yang terjadi pada tulisan Jawi.

Yang kurik itu kendi,
Yang merah itu saga,
Yang baik itu budi,
Yang indah itu bahasa"